Thursday, May 16, 2024
HomemalaysiaPendirian tegas, soal hubungan luar bakal mencorak kepimpinan Sultan Johor sebagai Agong...

Pendirian tegas, soal hubungan luar bakal mencorak kepimpinan Sultan Johor sebagai Agong baharu: Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pendirian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi Johor yang tegas menyuarakan pendapatnya secara terbuka mengenai isu-isu dan dasar-dasar kerajaan bakal mencorak dinamika antara pihak Istana Negara dengan kerajaan persekutuan apabila beliau menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu, demikian menurut para penganalisis yang diwawancara CNA.

Para pemerhati politik memberitahu CNA bahawa salah satu ciri utama Sultan Ibrahim ialah kesediaannya untuk meluahkan fikirannya mengenai isu-isu yang dekat dengan hati rakyat Malaysia. Istana Negara pada hari Jumaat (27 Okt) mengumumkan bahawa Sultan Ibrahim telah dipilih oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu mulai 31 Jan tahun depan.    Mereka memetik bagaimana beliau baru-baru ini mengkritik mutu piawaian perumahan kos rendah di Johor, yang membandingkannya dengan reban ayam.

Sultan Ibrahim juga bersuara mengenai kadar vaksinasi COVID-19 yang perlahan di Johor, syarat ketat bagi warga asing untuk membeli rumah di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) serta memberi amaran kepada para penggubal undang-undang supaya tidak melakukan gerakan politik yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik.

Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara memberitahu CNA bahawa adalah “menarik” untuk melihat nanti bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya memberi respons terhadap kritikan-kritikan yang sama sekiranya timbul kelak, selepas Sultan Ibrahim menaiki takhta tahun depan.

Dr Azmi juga memetik bagaimana dalam satu temu bual media baru-baru ini, Sultan Ibrahim telah memuji usaha pembaharuan anti-rasuah Encik Anwar dan juga bagaimana beliau menyuarakan secara positif tentang hubungannya dengan pemimpin Pakatan Harapan itu.

Baca:

Malaysia mahu bincang kekalkan khidmat tren ulang-alik Johor Bahru-Singapura  

Nilai ringgit lemah: Rakyat Johor memburu kerja di Singapura, tenaga kerja dalam negeri terjejas 

Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet memberitahu CNA bahawa walaupun Yang di-Pertuan Agong perlu mengekalkan hubungan mesra dengan kerajaan agar pentadbiran berjalan lancar, beliau menegaskan Sultan Ibrahim mesti kekal berkecuali dan mengatasi politik, selaras dengan peranannya sebagai raja berlembagaan. 

Bagaimanapun, seperti yang dilihat semasa pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekarang, Yang di-Pertuan Agong mungkin terpanggil untuk campur tangan semasa tempoh ketidakstabilan politik.

Semasa tempohnya sebagai Agong, Sultan Abdullah telah bekerja bersama empat perdana menteri yang berlainan, tiga daripadanya dilantik untuk menyelesaikan kebuntuan politik.

Dalam ucapan terakhirnya di parlimen pada Februari, Sultan Abdullah menggariskan bahawa baginda telah tercatat dalam sejarah negara sebagai satu-satunya Agong yang berkhidmat bersama “empat perdana menteri dan empat Kabinet berlainan”. Beliau menambah bahawa empat tahun pergolakan politik mungkin dapat dielakkan jika para ahli politik boleh mengetepikan perbezaan sesama mereka.

Sultan Ibrahim, atas kapasitinya sebagai ketua negeri Johor, juga telah menyatakan pendapatnya mengenai ketidakstabilan politik di peringkat persekutuan.

Pada April laporan mengenai satu percubaan pakatan pembangkang Perikatan Nasional untuk menyingkirkan kerajaan Anwar, dengan memikat para ahli parlimen Barisan Nasional yang tidak menyokongnya, menerima teguran daripada Sultan Ibrahim. 

Beliau mengeluarkan kenyataan yang menegaskan  bahawa percubaan ini “tidak sihat untuk seluruh negara, sama ada dari segi sosial, ekonomi, malah dari segi kedudukan kita di peringkat antarabangsa.”

“Cukup-cukuplah. Berapa lama lagi lebih 30 juta rakyat negara kita harus menanggung situasi ini? Ekonomi mesti dipulihkan dan kemakmuran Malaysia mesti diutamakan,” katanya.

Prof Madya Awang Azman berkata apabila ditabalkan sebagai Agong, Sultan Ibrahim berkemungkinan akan terus bersuara menentang cubaan untuk mengganggu kestabilan politik.

“Apabila baginda menjadi Agong, kita boleh menjangkakan Sultan Johor meneruskan mesej Sultan Abdullah, dan akan menegur mana-mana percubaan ahli-ahli politik untuk mencetuskan perbalahan politik,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isterinya Ho Ching menjamu Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Zarith Sofiah untuk makan malam di Istana.

Encik Lee kemudiannya berkata bahawa hubungan antara Singapura dan Johor telah berkembang maju di bawah “kepimpinan bijak” Sultan Ibrahim Iskandar.

Dalam catatan Facebook selepas majlis makan malam itu, Sultan Ibrahim berkata bahawa kedua-dua Singapura dan Johor boleh bekerjasama untuk “menghasilkan hasil menang-menang dengan faedah yang ketara untuk rakyat dan perniagaan kedua-dua negara”.

Mengenai China, Sultan Ibrahim dinukil dalam satu wawancara dengan Sin Chew pada Ogos, bahawa adalah penting bagi Malaysia mengekalkan hubungan mesra dengan kuasa besar Asia itu, sambil menyifatkannya sebagai rakan kongsi pelaburan yang “baik dan boleh dipercayai”.

Dr Azmi berkata bahawa kerajaan Malaysia boleh memanfaatkan “hubungan mesra” Sultan Ibrahim dengan negara-negara ini untuk membantu mengukuhkan hubungan diplomatik.

“Saya yakin dengan Sultan Ibrahim sebagai Agong, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan China akan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Prof Madya Awang Azman berkata bahawa hubungan istimewa Sultan Ibrahim dengan Singapura dan China “akan mengukuhkan hubungan diplomatik” antara negara-negara ini dan Malaysia apabila beliau  menaiki takhta kelak.

Beliau juga menyatakan bahawa Sultan Johor mempunyai rakan kongsi pelaburan dengan firma-firma dari China dan Singapura.

“Beliau menjalin hubungan mesra dengan para pemimpin utama (di Singapura dan China), dan beliau mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membina hubungan dengan rakan sejawatannya di luar negara. Ini berpotensi meringankan kerja kerajaan persekutuan,” tambah Prof Awang Azman.

Penganalisis politik James Chin, yang merupakan Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata kemungkinan Sultan Ibrahim akan mendapat jemputan rasmi dari Singapura dan China untuk melawat negara-negara tersebut dan bertemu dengan para pemimpin mereka sejurus selepas beliau   dinobatkan.

Prof Chin menarik perhatian Sultan Ibrahim akan memahami sepenuhnya bahawa peranan raja berperlembagaan bukanlah untuk campur tangan dalam hubungan politik serta ehwal luar negara.

“Saya rasa dia tahu bahawa dia bukan lagi Sultan Johor sahaja, dia bukan bercakap hanya bagi pihak Johor. Dia mewakili (negara) dan lapan lagi saudara  Sultan. Ini semua memerlukan cara permainan yang berbeza,” tambah beliau. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular